Fishing Activity

Mohd Huzairy: Aktiviti Waktu Petang Mencari Ikan Haruan Menggunakan Sailang

Boleh dikatakan hampir setiap hari, saya akan keluar memancing ikan Haruan selepas selesai menunaikan solat Asar di rumah. Tempoh masa kurang dari 2 jam bagi saya lebih dari mencukupi kerana lokasi-lokasi yang menjadi sasaran saya terletak tidak jauh dari rumah. Saya gemar membawa set Ultralight sahaja kerana lebih praktikal dan senang untuk dibawa ketika menunggang motorsikal.

Kebiasaannya, saya akan memancing secara solo, tetapi ada kalanya rakan-rakan saya di sini akan datang sendiri ke lokasi atau kami akan berpakat lebih awal untuk memancing bersama.

Lokasi yang menjadi sasaran saya pada petang ini ialah di sebuah parit yang menjadi lubuk haruan. Airnya yang berwarna hitam jernih dan turut diliputi oleh pokok kangkung menjadikan lokasi ini ‘lubuk’ kepada haruan bersaiz mega. Namun, oleh kerana saya dan rakan-rakan kerap memancing di sini, ikan Haruan seolah-olah sudah menghidu kehadiran pemancing dan itulah puncanya mengapa niat untuk mencari ‘strike’ agak sukar.

Saya berasa teruja untuk turun pada petang ini kerana sebelum waktu Asar, hujan telah turun dalam keadaan yang lebat tetapi sekejap. Situasi ini amat ditunggu-tunggu oleh saya kerana berdasarkan pengalaman yang telah lalu, ibu Haruan akan keluar membawa anak-anaknya dari tempat persembunyian mereka selepas hujan turun.

Percubaan saya pada awalnya tidak membuahkan hasil kerana 3 kali saya gagal membuat ‘hook set’ yang kemas yang mengakibatkan ikan terlucut. Saya dapati paras air naik sedikit, jadi saya mengambil keputusan untuk menggunakan gewang jenis selaman dalam seperti spinnerbait dan swimbait. Tiada sambaran ‘topwater’ langsung untuk sesi petang kali ini, mungkin belum kena pada keadaannya.

Keputusan saya menggunakan spinnerbait berhasil apabila saya berjaya membuat ‘hook set’ yang solid pada seekor ikan Haruan bersaiz sederhana. Lontaran yang dibuat pada tepi tebing parit membuahkan hasil kali ini. Setelah siap diambil gambar, saya melepaskan kembali ikan Haruan tersebut ke dalam air. Saya gemar memakan ikan Haruan, tetapi saya telah meletakkan syarat untuk diri saya sendiri iaitu, saya cuma akan bawa balik seekor ikan yang bersaiz lebih 40cm – 45cm sahaja untuk dijadikan hidangan. Tetapi, sekiranya ada rakan-rakan saya yang memesan ikan Haruan untuk dijadikan ubat dan sebagainya, baharulah saya akan bawa pulang lebih dari seekor.

Selepas itu, saya teruskan aktiviti saya dan akhirnya, saya ternampak ‘fry ball’ @ anak-anak ikan Haruan sedang berkumpul. Lontaran spinnerbait ke arah anak ikan Haruan tersebut tidak berjaya menarik minat ibu Haruan. Saya menukar spinnerbait kepada swimbait yang menggunakan kaedah ‘Jika’ Rig. Lontaran pertama terus diambil oleh ikan, namun saya gagal membuat ‘hook set’ yang kemas. Cubaan kedua saya berjaya disambar lagi, kali ni saya berjaya membuat ‘hook set’ yang kemas. Keadaan menjadi sedikit kelam kabut kerana saya dapat merasakan ibu Haruan tersebut bukan bersaiz sederhana kerana cara tarikannya sangat kasar dan kuat. Tidak sampai beberapa saat, saya dikecewakan buat kesekian kalinya kerana mata kail berjaya dilucutkan oleh ikan tersebut. Kesan buih dan olak air yang menunjukkan saiz ikan Haruan tersebut menambahkan lagi kekecewaan saya.

Saya teruskan lagi memancing walaupun perasaan kecewa masih lagi tersisip di hati saya. Lumrah biasa dalam dunia memancing, getus hati saya untuk memujuk. Akhirnya, tepat jam 7.15 petang, saya pun bergegas pulang ke rumah.

Perjalanan di sepanjang jalan masih lagi memikirkan hal ikan yang terlepas tadi. Secara tak langsung, semangat saya semakin berkobar-kobar untuk kembali pada hari yang lain di tempat yang sama.

Sekian dahulu daripada saya, terima kasih kerana sudi membaca.

Related Articles

Lyee Caster: Memancing Ikan Peacock Bass Dengan Soft Plastik Grenti Strike Geli-Geli

Kanicen Nix

Hairz Zer: Kemampuan Soft Bait Grenti Strike Geli-Geli Sememangnya Lain Macam

Hairz Zer

Thava Prasanth: Pesta Ikan Tenggiri Di Rompin, Pahang Dengan Ultralight

Kanicen Nix