Fishing Activity

Hairz Zer: Kemampuan Soft Bait Grenti Strike Geli-Geli Sememangnya Lain Macam

ikan bujuk channa lucius dengan soft bait kanicen nix grenti strike geli geli

Beberapa hari kebelakangan ini nenek sentiasa bertanyakan pada saya tentang ikan bujuk. Teringin sangat nak makan ikan bujuk agaknya. Rakyat marhaen di Hulu Langat sudah sedia maklum tentang hidangan ala diraja yang menjadi kewajipan apabila orang tua-tua pulang dari menjala, pastinya masak lemak cili api dan ikan yang menjadi sasaran tentu sekali Bujuk kerana dagingnya yang halus dan lembut. Sedapnya pasti terangkat!

Di Hulu Langat, Bujuk yang juga dikenali sebagai Forest Snakehead dalam bahasa inggeris atau nama saintifiknya Chana Lucius adalah antara ikan yang mudah ditemui di sepanjang sungai menyusuri perjalanan anda dari Batu 18 hingga ke Kg Kuala Pangsun. Habitat geografinya yang suka pada celahan kayu hanyut, bawah rimbunan rumput yang hidup meliar sekitar gigi air dan kawasan berpaya yang terhasil dari sungai-sungai kecil memaksa saya untuk lebih bekerja keras. Ia juga antara spesies keluarga snakehead yang terkenal dengan kesungguhan asakan luar biasanya untuk melepaskan diri sehinggakan yang bersaiz mega juga mampu menerjah keluar dari air untuk melepaskan gewang yang pastinya menggetarkan adrenalin saya.

Hari ini Rabu, 8 Ogos 2018. Keadaan cuaca 7.30 pagi ini nampaknya mengizinkan saya untuk memburu Bujuk. Segera saya siapkan segala peralatan yang wajib dibawa. Saya menggunakan rod ultralight Kanicen Nix Sailang 2-6lbs yang menjadi kebiasaan memburu bersama spinning reel Shimano Nasci c2000 shallow spool yang telah saya padankan dengan tali braided Kanicen Nix Prototype 6lbs. Tali ini masih dalam proses percubaan untuk pasaran akan datang. Ianya antara tali braided yang halus dan kuat pernah saya gunakan. Nantikan kemunculannya!

Beberapa spot terbaik telah disenarai pendekkan dan semuanya dalam 3km lingkungan radius dari rumah saya. Kebanyakkan lokasinya tidaklah terlalu jauh ke pendalaman. Cuma lokasi pertama yang akan saya pergi ini agak berabuk dengan tanah merah yang mengganggu penglihatan perjalanan dan kesesakan berkongsi laluan bersama lori hantu yang senantiasa keluar masuk membawa muatan pasir. Yang lainnya hanya di persisir Sungai Langat sahaja.

Setiba di lokasi pertama, kereta harus diletakkan sedikit jauh dari spot memancing dan sentiasa mengekalkan suasana tenang agar penghuni air tidak terganggu. Kurang seminit berjalan, selepas menyelak beberapa ranting kayu yang berselirat, dapatlah saya berdiri anggaran sekaki jarak dari tebing lubuk.

Saya gemar menggunakan soft frog berwarna hitam untuk memburu spesies snakehead. Tetapi kali ni saya bertukar kepada soft bait prototype berwarna hijau fluorescent dari Kanicen Nix. Softbait ini diberi nama “Geli-Geli”. Mungkin keadaan fizikal dan reka bentuk badannya yang menggerutu dan ekor yang sentiasa menggelitik bila berenang di dalam air menjadi faktor pemilihan namanya.  Ia akan berada di pasaran tidak lama lagi. Pastikan tempatnya di dalam tackle box anda!

Akibat keadaan lubuk yang berstruktur, saya padankan soft bait dengan weedless jighead agar tidak tersangkut. Cecah saja air, balingan pertama terus disambar rakus. Melulu pecutannya menuju tepat ke timbunan ranting yang berendam di dalam air. Nampaknya nasib tidak menyebelahi dan ikan berjaya meloloskan diri. Balingan kedua saya sedikit jarak. Sekali lagi tidak mengecewakan. Sambaran kali ini lebih ganas. Pecutannya ke timbunan ranting yang sama. Tidaklah terlalu lama untuk saya segera mengubah haluan dan kesempatannya melarikan diri. Dengan momentum pantas yang ada pada rod Sailang, saya memberi hentakan lembut dan hal ini membantu kedudukan mata kail supaya tikaman pada mulut ikan lebih dalam dan solid sehingga memaksanya menghalakan muka dan renangannya menuju saya. Akhirnya saya berjaya menaikkan seekor ikan Bujuk remaja.

Saya teruskan dengan balingan 20 meter ke kawasan timbunan keladi. Karauan yang sedikit laju. Juga tidak mengambil masa yang lama, sambarannya cukup terasa dengan getaran sensitiviti tinggi dari tip Sailang yang sememangnya dibina untuk keupayaan itu. Kali ini saya berjaya menaikkan seekor ikan Haruan biasa.

Selepas beberapa balingan tanpa sahutan, saya berpindah ke lokasi seterusnya. Lokasi kedua terletak 2km dari lokasi tadi dan kedudukan spot hanya 50 meter sahaja dari bahu jalan. Kali ini saya tetap menggunakan soft bait dari Kanicen Nix, cuma dari jenis swimbait berwarna merah dan putih. Softbait ini antara koleksi dari Grenti Strike yang menjadi kegilaan saya memburu spesies snakehead. Setiap spot yang berpotensi untuk strike, anda harus pastikan balingan pertama tepat dan sempurna ke sasaran. Jika tidak, anda hanya akan menakutkan ikan dan akhirnya melarikan diri ke lubuk lain. Dan itulah yang saya lakukan di lokasi kedua ini dan hasilnya sambaran ganas yang cukup menggetarkan adrenalin saya dan akhirnya tersenyum sendiri apabila sang Bujuk melompat keluar dari air dan berusaha keras untuk melepaskan diri. Saya harus akur dengan kata-kata nasihat dari Kanicen supaya sentiasa mengekalkan ketegangan tali dan tidak mengangkat rod terlalu tinggi agar ikan tidak terlepas dan yang paling penting rod tidak patah. Belum pernah saya merasa asakan padu si Bujuk dengan set ultralight begini. Pertarungan kali ini Betul-betul menguji kesabaran saya agar tidak terburu-buru menaikkan ikan dan pantas dalam membuat keputusan. Berkali-kali ia terbang dan lari ke bawah runtuhan pokok mati. Syukurlah saya cepat bertindak walau terpaksa merendahkan rod hingga hujung tip mencecah air. Selepas beberapa minit pertarungan, ikan dapat saya naikkan. Syukur alhamdulillah. Hari yang sangat mengujakan. Berat tangkapan saya anggarkan +- 1kg. Saiz terbesar dan trofi dalam koleksi tangkapan spesies Bujuk saya.

Hari yang banyak mengajar saya baik dari segi teknik, emosi, minda dan ilmu dalam menghasilkan sesuatu produk memancing khususnya softbait. Sememangnya dalam menghasilkan softbait, perlu kita ketahui saiz diet ikan, peranan bentuk produk dalam memberi corak renangan yang mengiurkan dan warna yang mampu menarik perhatian pemangsa. Bukan sekadar mengaut keuntungan tetapi memberi kepuasan pada setiap pancingan. Saya memutuskan untuk membawa pulang tangkapan yang terbesar untuk dijadikan santapan lauk buat nenek. Kekadang, rezeki seseorang itu boleh jadi asbab kegembiraan buah tangan buat kita. Dan inilah hadiah buat nenek yang sudah lama mengidam hendak makan ikan “Bujuk Masak Lemak Cili Api”. Maka selesailah misi saya hari ini. Moga hasil tadi dapat memberi keceriaan buat yang berkehendak.

Kebahagiaan terukir apabila kita berkongsi kegembiraan bersama orang lain baik dalam penghasilan produk mahupun hasil tangkapan. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Jadilah manusia yang positif dan sentiasa bersyukur dalam apa jua yang kita lakukan. Hargailah setiap individu yang pernah menjadi insan penting dalam kehidupan kita.

Related Articles

Hairz Zer: Rindu Sebarau Terubat Dengan Ikan Temperas

Hairz Zer

Lyee Caster: Renangan Micro Spoon Kanicen Nix Red Eye 5g Memukau Ikan Sebarau Serigala Sungai

Kanicen Nix

Kanicen Nix: Sail Fish On Ultralight Challenge at Rompin Pahang, Malaysia

Kanicen Nix