Fishing Activity

Hairz Zer: Rindu Sebarau Terubat Dengan Ikan Temperas

Perjalanan kami dari Puchong seawal 5.30 pagi, Khamis 2 Ogos 2018. Saya dan Kanicen bergerak satu kereta sementara Abang Zul, tuan tanah menunggu kami di rumahnya, Felda Sg Tengi. Selepas satu jam setengah memandu, kami tiba di destinasi pertama, rumah Abang Zul. Sambil bersiap menyediakan peralatan memancing yang akan dibawa, kami panaskan dulu jentera dua roda yang akan bawa kami meredah hutan kelapa sawit. Syukur dan terima kasih kepada Abang Zul kerana berbesar hati menyediakan motosikal. Spot yang kami pergi ini agak tidak sesuai dimasuki tanpa motosikal kerana keadaan jalan yang berbatu dan bertanah merah.

Tepat 7.30 pagi kami bergerak ke spot yang dirancang. Perjalanan dengan motosikal mengambil masa lebih kurang setengah jam. Setiba di destinasi, Sebarau menjadi taruhan utama demi menduga adrenalin yang lama bersarang. Air sungai kali ini nampak tenang cuma sedikit keruh kerana hujan agak lebat turun malam tadi.

Saya menggunakan rod prototype Kanicen Nix 1-4lbs rekaan khas Kanicen sendiri untuk pengalaman stream fishing yang lebih ekstrim, reel shimano nasci c2000 shallow spool dengan tali braided prototype Kanicen Nix 6lbs dan spoon prototype Kanicen Nix 3g.

 

Kami mula bergerak menyusuri sungai sehingga 2km jauh. Selepas beberapa balingan tanpa respon, akhirnya kami berhenti dan menukar teknik pancingan kepada pancingan bottom. Air keruh mungkin faktor ketidakberhasilan menduga sebarau.

Dengan setup yang sama, saya menyediakan perambut yang diikat batu ladung saiz 1/8 dan mata kail Fire Eagle DX 254ss saiz 4 disambungkan pada leader yang tersedia diikat bersama tali braided.

Kali ini saya guna cengkerik sebagai umpan.

Saya tak perlu tunggu lama. Kurang 3 minit joran melengkung junam ke air. Wow! sepantas itu dihajatkan umpannya. Sesuatu sedang memakan umpan. Larian padu tak buat saya cepat menduga spesies apa yang telah meragut umpan. Boleh jadi baung boleh jadi juga sebarau. Melayan larian padu dengan rod 1-4lbs betul-betul mengujakan saya. Anda patut berterima kasih kepada ultralight trendsetter, Kanicen Nix kerana sekali lagi berjaya menghasilkan stream rod yang mampu memberi pengalaman ekstrim kepada pancingan kita. Pentingnya menitikberat soal “matching and balancing” dalam penyediaan rod, reel dan tali. Saya berjaya menaikkan seekor ikan bersisik dengan bentuk seakan lampam atau tengas daun, saiz 20cm dengan warna kekuningan pada tengah badan dan sedikit tompok merah di atas matanya.

Spesies baru dalam kotak memori saya. Nampaknya seseorang harus dibantu. Menurut info dari Kanicen, ianya sejenis ikan Temperas. Orang kampung gelarnya Merah Mata atau dalam bahasa inggeris Beardless Barb dan nama saintifiknya Cyclochelichthys Apogon, yang hidup di sungai berarus, tasik, lombong, paya dan parit.

Temperas menjadi antara spesies baru yang dapat dinaikkan dalam koleksi peribadi ikan air tawar saya. Tak buang masa lagi saya teruskan dengan umpan kedua. Kali ini joran Kanicen pula membuahkan hasil dan sekali lagi spesies sama dapat dinaikkan. Tak ketinggalan Abang Zul dengan spesies ikan Baung dan Terbul. Kami teruskan pancingan di beberapa tempat lain berdekatan sehingga berjaya mendaratkan lebih 10 ekor ikan Temperas saiz 10-15cm, 3 ekor ikan Baung dan 2 ekor ikan Terbul. Nampaknya kerinduan pada serigala sungai terubat dengan kehadiran Temperas yang banyak.

Kami tamatkan aktiviti hari ini kerana jam sudah menunjukkan tepat 3.00 petang dan kami harus bergerak balik ke rumah Abang Zul, bersiap dan pulang ke Kuala Lumpur. Kecewa tanpa asakan sang serigala pemangsa sungai, kami tetap layak berpuas hati kerana berjaya mendaratkan spesies “rare” dan susah ditemui di kebanyakan sungai di sekitar Lembah Klang. Hakikatnya spesies ini sedang berdepan masalah kepupusan yang teruk akibat perubahan ekosistem sungai yang semakin tercemar dan aktiviti bom, tuba dan karen dari kerakusan tangan-tangan manusia tamak yang langsung tidak bertanggungjawab demi menjaga kelestarian alam dan kehidupan.

Sesungguhnya pemancing yang hebat itu bukanlah berapa banyak ikan dinaikkan dan bukanlah berapa besar ikan dapat didaratkan. Tetapi pemancing yang hebat adalah pemancing yang dapat memberi manfaat kebaikan pada manusia lain dan alam sekitar. Sungai kita, tanggungjawab kita.

Related Articles

Kanicen Nix: Hunting Burmese Trout – Do It With Grenti Strike Lures

Kanicen Nix

Thava Prasanth: Pesta Ikan Tenggiri Di Rompin, Pahang Dengan Ultralight

Kanicen Nix

Foong Chee Keat: Baby Hampala / Sebarau on Kanicen Nix Micro Spoon and Sailang Ultralight Rod

Kanicen Nix